Tasauf: bahaya penyakit riyak dan takabbur

2019 April 22

πŸ‡²πŸ‡Ύ Ya, memanglah sangat ngeri menonton klip video di bawah ini. Tapi itulah realiti yang bisa terjadi yang tak dapat dinafi.

Anda mungkin pula akan bertanya, apa relevannya dengan tajuk PenCERAHan ini. Bagi Acik, ia memang sangat relevan. Maka itu sebabnya Acik tayangkan klip video itu di dalam PenCERAHan ini sebagai iktibar.
.

.

Ramai kita mungkin pernah terlintas dengan sebuah hadith Nabi s.a.w. yang mahfumnya, “dalam diri manusia ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah maknusia itu”. Ketul daging yang dimaksudkan baginda itu adalah hati. Baik fisikal hati tersebut maupun batinnya.

Riyak dan takabbur adalah dua dari sifat-sifat batin bagi hati. Ia merupakan penyakit hati yang perlu diubati. Penyakit hati ini akan mebawa kerosakan kepada diri pemiliknya. Samada rosak di dunia ini lagi maupun di akhirat nanti.

Ulama dahulu menamakan sifat-sifat buruk bagi hati itu sebagai sifat mazmumah. Lawan baginya ialah sifat mahmudah. Setiap individu Muslim wajib berusaha mengamalkan sifat mahmudah. Sebaliknya menyahkan dari hatinya sifat-sifat mazmumah.

Ciri-ciri bagi seorang yang bersifat riyak ialah dia amat suka menunjuk-nunjuk kepada orang lain kehebatan dirinya. Jika dia seorang yang cantik, maka dia amat suka menunjukkan kecantikannya.

Begitulah juga, jika dia seorang kaya, maka dia suka menunjukkan kekayaannya. Jika dia seorang yang berilmu, maka dia suka menunjukkan keilmuannya. Seterusnya, jika dia seseorang yang berani, maka dia suka menunjukkan keberaniannya.

Yang tidak suka menunjukkan kehebatannya hanyalah seorang yang malu. Maka malu merupakan satu kehebatan yang terpuji. Tepuji kerana ia mampu menyelamatkan manusia dari kebinasaan.

Takabbur juga adalah sifat batin yang negatif bagi hati. Seorang yang takabbur hanya perasan bahawa dirinya memiliki keupayaan yang luarbiasa. Sedangkan hakikatnya dirinya adalah lemah.

Contohnya, dia mendakwa berkuasa mengangkat seberat 100kg, sedangkan realitinya kemampuannya hanya bisa mengangkat 80kg sahaja.

Begitu juga dengan seorang motorist yang merasa dirinya tersangat mahir. Kononnya dia masih mampu mengawal motorsikalnya walaupun dalam kelajuan yang sangat tinggi. Sedangkan realitinya, kemampuannya tidaklah sedemikian.

Akibatnya, dalam proses menunjukkan keberanian, iaitu menunggang motorsikal dengan kelajuan yang tinggi itu, nyawanya hilang dalam kemalangan yang dahsyat, yang amat mengerikan. Innalillahi ….

Para ilmuan agama kini juga tidak kebal dari penyakit riak dan takabbur. Berdasarkan pemerhatian sendiri, Acik dapati ada juga di kalangan mereka yang turut terpalit dengan sifat riyak dan takabbur. Oleh sebab majoriti besar angota masyarakat sekarang memandang mulia kepada orang-orang yang berada (kaya kebendaan), maka mereka pun turut sama menzahirkan keberadaan mereka.

Antara keberadaan yang suka diperlihatkan mereka ialah kereta mewah yang mereka pandu. Jika dibandingkan dengan majoriti orang biasa, kereta mereka jauh lebih mahal. Rumah mereka juga jauh lebih mewah. Pendek kata mereka tidak mempraktikkan cara hidup sederhana sepertimana yang dianjurkan oleh agama yang mereka sendiri dakwahkan.

Cara hidup ulama dahulu jauh berbeza dari mereka (ilmuan agama sekarang) ini. Ulama dahulu lebih mempraktikkan sifat zuhud dan tawaddu. Maka pengikut-pengikut mereka itu lebih mudah mencontohi cara hidup mereka berbanding dengan pengikut-pengikut ilmuan agama sekarang.

Konsep zuhud yang dipraktikkan oleh ilmuan agama sekarang agak bercanggah dengan yang dipraktikkan oleh ulama dahulu. Ulama dahulu memang menghindari diri dari kemewahan dunia. Tapi ilmuan agama sekarang mendakwa tidak salah bermewahan asalkan hati tidak terlalai oleh kemewahan tersebut.

Sebaliknya kata mereka, jika tidak menikmati rezeki yang dianugerahi Allah itu dengan sepenuhnya, maka itu adalah tanda kufur nikmat. Iaitu mensia-siakan atau tidak menghargai anugerah Allah dengan sewajarnya.

Sebagai contoh, ada ilmuan agama sekarang yang suka memiliki kereta yang lebih mewah dari kebanyakan orang biasa. Kononnya dengan tujuan mencontohi Nabi s.a.w. kerana baginda sendiri ada memiliki kuda terbaik sebagai kenderaan. Dakwaan mereka lagi, berkenderaan yang hebat adalah diperlukan demi kemudahan bagi mengerjakan urusan dakwah ke sana sini.

Di samping berkereta mewah, ada juga yang tinggal di rumah kediaman yang mewah. Namun, yang biasa menjadi tetamu mereka bukanlah orang-orang biasa, tetapi di kalangan orang-orang berada saja. Orang biasa, ramai yang segan hendak menziarahi rumah mereka kerana kemewahannya.

Ini berbeza dengan ulama dahulu. Walaupun rumah mereka agak besar tetapi amat sederhana. Rumah mereka itu sering didatangi orang biasa untuk mendapat nasihat dan berkat.

Mungkin ada ilmuan agama yang merasa dirinya lebih layak menikmati rezeki Allah dari ilmuan lain. Sebabnya ialah ilmu yang mereka sampai itu adalah ilmu yang jauh lebih disukai Allah. Analogi mereka ialah anak yang paling setia kepada ibu bapanya adalah lebih layak mendapat balasan istimewa dari ibubapanya itu berbanding dengan saudara-saudaranya yang lain.

Walaupun tak ramai ilmuan agama yang berkefahaman demikian, namun pengaruh mereka kepada masyarakat mungkin amat besar. Ramai dari anggota masyarakat yang menjadikan mereka sebagai contoh atau idola untuk diikuti. Kalau tak menjadi ikutan untuk diri sendiri, mungkin buat diikuti oleh anak-anak mereka.

Kecenderungan ke arah tersebut dapat dilihat melalui program-program realiti TV yang berunsurkan agama. Contohnya program Pencetus Ummah, Imam Muda dan yang seumpamanya.

Minat yang ditunjukkan oleh masyarakat Islam kepada program-program tersebut amat memberansangkan. Mungkin ramai Muslim penonton program-program tersebut menjadikan selebriti-selebritinya sumber ilmu tentang Islam.

Riyak dan takabbur di medsos

Dalam era medsos (media sosial) eletronik ini unsur-unsur riyak dan takabbur dapat hidup dengan amat subur. Ambil saja medsos Facebook sebagai contoh. Kebanyakan (bukan semua) posting yang dinaikmuatkan ke wall masing-masing adalah berbaur riyak atau takabbur, ataupun kedua-duanya sekali.

Rasanya tak perlulah sesiapa pun dari kita menuding jari kepada yang lain untuk mendakwa bahawa postingnya itu berbaur riyak atau takabbur. Kerna, jika satu jari kita ditunjukkan ke arah orang lain, nescaya empat jari lagi akan menunjuki ke arah diri kita sendiri.

Oleh itu biarlah setiap kita hanya menilai sendiri setiap posting masing-masing tanpa menghukumi posting orang lain. Jika dirasakan bahawa posting kita itu ada berbaur salah satu dari unsur riyak atau takabbur, maka tak payahlah dipamirkan di dalam Facebook kita untuk tontonan umum. Ini adalah lebih selamat buat kita.

Maka di sini inginlah Acik mengajak rakan-rakan Facebook semua supaya mulai mempelajari ilmu dalam bidang tasauf. Tanpa ilmu itu, mungkin amalan baik kita hanya mendapat ganjaran di atas dunia ini saja. Sedangkan di akhirat nanti kita binasa.

Tujuan Ilmu tasauf ialah untuk mengajar kita supaya melakukan amalan-amalan baik disertai dengan niat yang ikhlas, iaitu semata-mata kerana Allah. Ini sejajar dengan maksud hadith bahawa setiap amal (baik) itu adalah dengan niat. Amal yang baik tanpa niat yang betul (ikhlas) boleh membawa kepada kebinasaan.

Makna ikhlas

Makna ikhlas ialah semata-mata kerana Allah. Ada tiga tahap ikhlas yang Acik faham. Pertama ikhlas kerana takutkan neraka Allah. Ini dikira tahap ikhlas yang paling rendah.

Tahap yang kedua ialahlah ikhlas kerana inginkan kepada syurga Allah. Ini dikira sebagai tahap sederhana atau di pertengahan antara yang terendah dengan yang tertinggi.

Tahap ikhlas yang paling tinggi ialah mentaati Allah semata-mata kerana perintahNya tanpa apa-apa sebab selain darinya. Bagi Acik orang awam ni, untuk mencapai ikhlas tahap ini adalah ibarat “JAUH PANGGANG DARI API”.

Kalau boleh mencapai tahap pertama pun sudah dikira kejayaan penuh buat Acik. Itu pun 99.99+% adalah atas rahmat dan ehsan Allah S.N.W. Namun setiap Muslim wajib bercita-cita untuk dapat memasuki syurga Allah serta selamat dari nerakaNya.

Wallahua’lam 🌷

Lain-lain PenCERAHan yg relevan:

.

Ibarat makan pisang sedekah

https://4uni2c.com/2019/04/10/agama-ibarat-makan-pisang-sedekah/
.

Untuk yang tersayang

https://4uni2c.com/2019/09/11/untuk-yang-tersayang/

PenCERAHan terbaru ⬇

http://www.4uni2c.com

.

~ by OPajar on 2019-04-22.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: