Ruqyah Syar’iyyah: Pesan Acik
2019 Jul 30 (Sel)
.
π²πΎ
Kaedah perubatan dengan menggunakan ayat-ayat al Quran bukan benda baru bagi Acik. Ketika masih kecil dahulu Acik sudah biasa melihat kaedah itu dipraktikkan. Malah Acik sendiri pun pernah menerima munafaat dari kaedah rawatan itu.
Pengamal kaedah perubatan tersebut adalah seorang ibu kepada rakan Acik. Beliau juga jiran sekampung dengan Acik. Kami memanggil beliau Makji Che Amah (MCA). Walaupun ramai pesakit yang berjaya diubati oleh MCA, namun tidak pula beliau kaya. Suaminya tetap membuat kerja-kerja lain sebagai sumber nafkah keluarga.
Peristiwa hitam dalam terowong di Makkah suatu ketika dahulu telah menyebabkan ribuan jemaah haji terbunuh. Trajedi tersebut mengingatkan Acik kepada MCA itu. Rupa-rupanya Allah memilih beliau sebagai tetamu kekal di tanah haram Makkah Mukaramah dengan mematikan beliau bersama-sama mereka yang terbunuh dalam peristiwa trowong tersebut. Al fatihah untuk arwah MCA !
Nampaknya rawatan Ruqyah Syar’iyyah (RS) menjadi semakin popular sekarang ini. Ia mengingatkan kembali Acik akan MCA. Tercetus pertanyaan dalam fikiran dan hati Acik, adakah apa yang dipraktikkan oleh MCA itu benar-benar sama dengan apa yang dinamakan Ruqyah Syar’iyyah sekarang. Nampaknya serupa tapi mungkin tidak sama.
Ada benda yang sama tapi dilihat tidak serupa oleh semua orang. Contohnya sebuah gunung yang dilihat oleh beberapa orang dari lokasi yang berlainan.
Namun ada juga objek yang sama dilihat serupa walaupun dilihat dari lokasi yang berbeza. Contohnya bulan. Dari lokasi mana pun ia dilihat, bentuknya tetap serupa iaitu sepira (spherical).
Ada perkara yang serupa pada yang tersurat tapi tak serupa pada yang tersirat. Contohnya dua orang individu yang sama-sama menolong seorang yang di dalam kesusahan. Dari segi yang tersurat nampaknya serupa. Namun yang akan menjadikan tindakan mereka itu tak sama adalah yang tersirat.
Maksud yang tersirat ialah niat dan hasrat masing-masing. Yang seorang membantu adalah dengan niat yang tulus ikhlas. Manakala yang seorang lagi kerana “ada udang di sebalik batu”.
Apa yang Acik nak tekankan di sini terhadap pengamal-pengamal Ruqyah Syar’iyyah (PRS) sekalian adalah tentang faktor niat. Adakah antum (anda semua) membantu seseorang yang sedang menghadapi sesuatu masalah itu dengan niat yang ikhlas demi mengharapkan pahala, ataupun sebaliknya dengan tak takutkan dosa ?
Menyentuh tentang niat, ia adalah faktor yang tersembunyi dari semua makluk. Yang tahu niat kita selain diri kita sendiri hanya Allah SWT. Bahkan malaikat sendiri pun tidak tahu tentang niat kita sehinggalah diberitahu oleh Allah sendiri.
Di akhirat nanti, (berdasarkan apa yang Acik pernah baca), seorang yang berilmu akan ditanya oleh Allah, tentang ilmunya. Lalu si ilmuan ini pun mendakwa bahawa beliau di dunia dahulu berjasa kerana mengajar ilmunya kepada orang lain. Maka Allah mendustakan dakwaan beliau itu dengan mengatakan bahawa beliau mengajar ilmunya supaya dipuji sebagai seorang yang ‘alim, bukannya kerana Allah. Lalu Allah memerintah malaikat supaya mencampakkan si ilmuan tersebut ke dalam api neraka.
Begitu juga dengan seorang yang kaya dengan kebendaan ketika hidup di dunia dahulu. Beliau pun mendakwa bahawa kekayaannya dahulu telah digunakan untuk bersedekah dan berkoban demi kebajikan. Lalu Allah mendustakan dakwaannya itu dengan megatakan bahawa tindakannya dahulu hanya supaya dipuji sebagai seorang yang pemurah lagi dermawan. Lalu Allah memerintah malaikat supaya melemparkan beliau ke dalam api neraka.
Individu ketiga ialah seorang yang mati syahid (kononnya) di medan perang. Beliau ini mendakwa telah sanggup berperang bermati-matian demi kerana Allah. Namun Allah mendustakan dakwaannya itu dengan mengatakan bahawa beliau berperang bukan keranaNya tapi supaya dipuji sebagai orang yang gagah berani. Lalu beliau juga diperintahkan Allah supaya dilemparkan ke dalam api neraka.
Maka pesanan Acik kepada PRS sekelian ialah agar antum memasang niat ikhlas bila mempraktik ilmu RS antum ke atas pesakit yang antum rawati. Acik yakin bahawa rawatan antum tidak akan mujarab jika faktor niat antum tidak betul.
Niat ikhlas dalam rawatan RS adalah elemen asas dalam rawatan RS. Ikhlas adalah umpama khasiat dalam ramuan ubatan moden. Tanpa khasiat, ubatan moden tidak akan mujarab bagi menyembuhkan penyakit yang diubati.
Dengan kata lain, mengaplikasikan kaedah RS keatas pesakit tanpa niat yang ikhlas (iaitu kerana Allah), adalah ibarat memberi kapsul atau pil kepada pesakit yang dirawati, tetapi kapsul atau pil itu tidak memiliki apa-apa khasiat. Tindakan sebegitu adalah sama dengan menipu pesakit yang antum rawati itu.
ββββββββββββββββββββ
Mengikut ajaran RS, untuk mendapat kesembuhan bagi penyakit yang bersabit dengan dosa-dosa yang lampau, maka pesakit wajib bertaubat nasuha. InsyaAllah setelah mendapat pengampunan Allah terhadap dosa-dosa berkenaan maka barulah kesembuhan akan datang pelahan-lahan.
ββββπΆπΆπΆπΆπΆπΆπΆπΆβββββ
Antum yang berada di atas sana, adalah PRS-PRS yang memiliki pengaruh yang kuat di dalam masyarakat. Selain daripada pandai mempesonakan pendengar-pendengar ceramah antum dengan lidah antum yang manis itu, antum juga memiliki kekayaan. Jadi tidak hairanlah jika ada wanita yang akan mudah terpikat kepada antum hingga sanggup menjadi isteri kedua, ketiga maupun keempat antum.
Maka sukalah Acik nak pesan dan tekankan kepada antum di sini, supaya antum berusaha meningkatkan tahap kejujuran, keikhlasan, kesabaran, keehsanan dan sifat-sifat mahmudah yang lain.
Antum digelar Ustaz kerana memakai label Islam pada diri antum. Peribahasa Melayu menyebut, “Kalau guru kencing (sambil) berdiri, murid-murid akan kencing (sambil) berlari”. Itu kalau yang kecing berdiri itu baru bertaraf guru. Entahlah apa yang akan berlaku jika sekiranya yang kencing berdiri itu bertaraf Ustaz.
Dengan PenCERAHan di atas, maka Acik rasa telah menunaikan satu tanggungjawab sosial yang Acik pendamkan sejak agak lama.
PenCERAHan Acik adalah sejajar dengan maksud hadith yang mahfumnya, “jika kamu melihat sesuatu kemungkaran, maka hendak kamu mencegahnya dengan tangan (kuasa) kamu. Jika tak mampu dengan tangan, maka cegahlah ia dengan lidah (perkataan) kamu. Jika dengan lidah pun masih tidak mampu, maka cegahlah dengan hati kamu. Dan itu adalah selemah-lemah iman”.
Wallahua’lam β
.
.
Lain-lain PenCERAHan yg relevan:
.
Ibarat makan pisang sedekah
https://4uni2c.com/2019/04/10/agama-ibarat-makan-pisang-sedekah/
.
Bahaya penyakit riyak & takabbur
https://4uni2c.com/2019/04/22/tasauf-bahaya-penyakit-riyak-dan-takabbur/
.