Agama: bagaimana ia dijual?
2019 Dis 27 (Jum)
🇲🇾 Sistem ekonomi kapitalis telah menghasilkan bermacam-macam produk. Bukan saja produk yang nyata (tangible) seperti makanan dan pakaian, bahkan bermacam-macam jenis perkhidmatan. Untuk apa produk-produk itu semua kalau bukan untuk jualan?
Produk-produk jualan yang wujud tidak terhitung jumlahnya. Ada yang bermunafaat tetapi banyak juga yang bermudharat. Namun, realitinya ialah dalam sistem ekonomi kapitalis, produk yang bermudharat pun masih dibenar penjualannya. Malah ianya juga dianggap sebagai penyumbang penting kepada pengembangan ekonomi sejagat. Contohnya arak, rokok dan judi.
Persaingan dalam penjualan adalah salah satu dari ciri-ciri sistem ekonomi pasaran bebas (leisure
fair). Demi melariskan produk jualan masing-masing, maka berlakulah amalan ikhlan mengikhlan. Apa yang diberitahu tentang produk yang diikhlankan itu hanyalah fakta-fakta yang positif sahaja. Yang negatifnya didiamkan, malah disembunyikan. Akibatnya pembeli tertipu oleh ikhlan, lagi dan lagi.
.
Elemen yang penting tentang sesuatu produk akan dieksploitasikan habis-habisan dalam pengikhlanan. Antara yang tersangat penting ialah elemen agama. Maka elemen inilah yang paling popular digunakan bagi memukat dan memikat hati-hati pelanggan.
.
Berbagai-bagai ikhlan yang boleh kita lihat mengandungi elemen agama. Contohnya, bagi produk pelancongan, ibadat umrah adalah elemen agama yang digunakan bagi menarik pelanggan untuk dibawa ke Mekah. Malah Mekah itu sendiri adalah elemen agama yang cukup berkesan bagi mengaut keuntungan lumayan dalam industri pelancongan.
Rata-rata rakyat Malaysia tahu bahawa orang Islam kebanyakannya sangat “selektif” dalam memilih makanan. Agama Islam melarang umatnya mengambil makanan dan minuman tertentu. Contohnya daging binatang yang terlarang, terutamanya babi. Binatang yang tak terlarang pun tidak boleh diambil sekiranya tidak disembelih mengikut cara yang ditetapkan oleh Islam.
.
Oleh itu pengeluar-pengeluar makanan dari mereka yang bukan Islam sanggup berusaha bersusah payah bagi “membeli” logo halal dari JAKIM. Logo halal itu adalah elemen agama yang dijual oleh JAKIM kepada pengeluar produk makanan berkenaan. Begitulah juga dengan pengeluar produk berkenaan kepada pelanggannya.
Penjualan agama yang paling dikesali ialah melalui ilmu agama. Walaupun ilmu agama adalah asalnya percuma, namun kini ianya lebih banyak dijual daripada disedekah. Ini sangat jauh berbeza dengan zaman puluhan tahun dahulu.
.
Ketika itu kuliah-kuliah agama disampaikan tanpa menetapkan apa-apa kadar bayaran. Sebaliknya, terpulanglah kepada masing-masing hadirin seberapa ikhlas yang nak disedekah. Malah jika ada di antara hadirin yang tidak menyumbang apa-apa pun, baginya bukanlah satu keaiban atau kesalahan. Apa yang lebih dipentingkan ialah bilangan yang hadir bukannya jumlah yang berjaya dikutip.
Di zaman Acik di sekolah rendah itu dahulu, Acik difahamkan bahawa naskah al Quran tidak “dijual” untuk mengaut keuntungan. Sebaliknya pencetak Quran hanya sekadar mendapatkan balik kos pencetakan yang ditanggungnya sahaja. Oleh sebab itu harga naskah Quran ketika itu sangatlah murah berbanding dengan sekarang.
Walaupun naskah al Quran dahulu sangat murah, namun ianya sangat dihormati dan disanjung tinggi. Dahulu Acik difahamkan bahawa untuk menyentuh naskah al Quran maka Acik wajib mengambil wuduk terlebih dahulu. Ini membezakan naskah al Quran daripada buku-buku lain, di mana naskah Quran adalah kitab yang suci lagi mulia. Ia dilarang dibawa masuk ke tandas.
Al Quran tak wajar disamakan dengan naskah buku buku lain. Bagi Acik, menghormati naskah al Quran adalah manifestasi menghormati agama Islam yang dibawanya. Namun sekarang ini naskah al Quran dilayan seperti buku-buku biasa. Orang yang berjunub pun dibiar memegangnya
Jika kita membeli senaskah al Quran di Pasaraya Mydin misalnya, petugas di kaunter bayaran mungkin bukan Muslim. Jadi sahih beliau dalam keadaan berjunub. Tapi beliau akan pegang naskah al Quran tersebut sama macam barang-barang lain untuk memasukkannya ke dalam beg selepas menerima bayaran dari kita.
Sehingga kini sudah belasan buah al Quran Acik dah beli. Penerbitnya adalah syarikat-syarikat yang berbeza. Yang tanpa terjemahan pun ada yang harganya lebih dari RM100. Yang bersama dengan terjemahan biasanya lebih mahal harganya. Rata- rata Quran yang dijual di kedai-kedai buku sekarang adalah lebih mahal dari kebanyakan buku-buku lain.
.
Kadang-kadang tertanya juga di fikiran Acik, apa rasionalnya maka Al Quran dijual dengan harga yang mahal. Sedangkan teks dan terjemahan semua Quran tidak banyak perbezaannya dari cetakan yang sebelumnya. Kalau bukan kerana pentingkan keuntungan, maka apa lagi tujuannya.
Satu lagi cara agama dijual ialah melalui perkhidmatan rawatan perubatan. Ayat-ayat al Quran digunakan sebagai faktor penyembuh bagi bermacam-macam jenis penyakit. Bahkan penyakit barah sekali pun kononnya dapat disembuhkan dengan membaca ayat2 tertentu dari al Quran.
Orang yang menderita kesakitan akibat mengidapi sesuatu penyakit kronik tidak mementingkan apa-apa lagi melainkan kesembuhan. Bagaimana sesuatu kaedah rawatan itu berfungsi bagi menyembuhkan penyakitnya itu, pesakit tidak mahu tahu. Asalkan ianya berjaya menyembuhi penyakit yang sedang diidapinya itu, maka itulah saja yang dicari-cari.
Biasanya pesakit akan mudah terpengaruh dengan apa juga kaedah rawatan yang diperkenalkan kepadanya. Asalkan ada saja testimoni dari pengidap penyakit yang sama, yang mendakwa telah sembuh kerana kaedah rawatan tersebut, maka ia pun terus percaya.
Acik bukanlah nak menghalang mana-mana pesakit daripada mencuba berubat dengan apa-apa juga kaedah rawatan. Cuma yang Acik kasihan ialah kepada pesakit yang dihasut supaya tidak mendapat rawatan perubatan modern. Sedangkan kaedah perubatan modern telah terbukti berjaya menyembuhkan majoriti pengidap penyakit berkenaan sebelum ianya bertambah teruk.
Tetapi setelah pesakit berkenaan sudah begitu teruk, maka barulah nak merujuk kepada pakar perubatan modern. Malang sekali apabila keadaan pesakit sudah terlalu lambat untuk dirawati. Contohnya pesakit barah. Apabila statusnya sudah sampai ke tahap 4, baru nak mendapatkan rawatan doktor pakar di hospital-hospital.
.
B e r s a m b u n g……..
Selingan ⬇️
Lain-lain PenCERAHan yg relevan
Ibarat makan pisang sedekah https://4uni2c.com/2019/04/10/agama-ibarat-makan-pisang-sedekah/
Ruqyah Syar’iyyah https://4uni2c.com/2019/07/30/ruqyah-syariyyah-pesan-acik/