Covid19: dekat tapi jauh
2020 Julai 24 (Jumaat)

๐ฒ๐พ Tadi (Julai 24) Acik rasa agak terkilan sebab tak dapat menunaikan solat Jumaat. Acik bukanlah nak salahkan sesiapa, cuma nak kongsikan sikit apa yang Acik alami tengah hari tadi. Selain Acik, mungkin ada lagi bakal jemaah lain yang turut terkilan.
Sejak pengharaman solat Jumaat oleh pihak ululamri (akibat serangan Covid19) dilonggarkan, Acik baru 2 kali saja berjaya menunaikan solat Jumaat. Pertama di masjid Damansara Damai dan kemudiannya di Cameron Highlands. Di masjid DD Acik daftar dahulu baru hadir. Tapi di CH hanya sebagai jemaah “walk in” saja.
Untuk solat Jumaat tadi Acik ingat takde masalahlah untuk menjadi jemaah “walk in” macam di CH juga. Rupa-rupanya ada masalah. Tapi masalahnya bukan salah siapa pun, melainkan akibat kesilapan perhitungan Acik sendiri. Sangkaan Acik yang baik rupa-rupanya menghasilkan yang tak baik buat diri Acik.
Apabila terbaca dalam WhatsApp kumpulan Acik bahawa untuk solat Jumaat hari ni masjid DD membenarkan sedikit Jemaah “walk in”, maka Acik pun mencubalah nasib untuk merebut kuota “walk in” tersebut. “Untung sabut timbul, untung batu tenggelam”, kata peribahasa Melayu. Kalau berjaya bersolat Jumaat, alhamdulillah. Kalau tidak, Acik redha saja. Kan semua yang berlaku itu adalah atas kehendak Allah jua.
Seperti biasa setiap kali nak menunaikan solat Jumaat Acik akan tumpang parking kereta di dalam kawasan kediaman Taman Apartmen Saujana. Taman AS itu adalah jiran kedua terdekat kepada masjid DD, selepas Taman Lestari. Kedua-dua jiran itu hanya dipisahkan oleh sebuah pagar besi yang berpintu.
Dasar pengurusan Taman AS membenarkan jemaah masjid DD masuk ke taman tersebut untuk bersolat Jumaat di masjid, wajar dipuji. Ia bukan saja memudahkan ahli Jemaah menghadiri solat Jumaat di masjid DD, bahkan mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam kawasan masjid tersebut. Pihak masjid wajar menghargai kerjasama yang diberi oleh pihak pengurusan Taman AS itu bukan mensia-siakannya.
Malangnya, pintu pagar untuk ke masjid dari Taman AS sentiasa dikunci oleh pihak masjid DD. Ia dibuka hanya sekali saja dalam seminggu, iaitu pada hari Jumaat dari jam 12 tengah hari hingga 3 petang. Ini bermakna, jika ada mana mana penduduk Taman AS yang berminat untuk bersolat jemaah di masjid (selain daripada solat Jumaat), maka kenalah ia menempuh jarak yang agak jauh, iaitu datang melalui pintu utama Taman AS.
Oleh sebab hari ini ialah hari Jumaat maka Acik ingat sudah tentulah pintu pagar yang dekat dengan masjid DD itu akan dibuka. Ini ada disebut dalam papan notis yang digantung dekat dengan pintu pagar tersebut. Rupa-rupanya tak. Hari Jumaat pun dikunci jugakah โ
Dengan penuh sangkaan baik Acik bertanya pihak masjid. Kot kotlah AJK masjid yang ditugas membuka kunci pintu pagar itu terlupa membukanya. Terkejut juga Acik membaca jawapan daripada Timbalan Nazir kariah DD. Jawapan beliau ialah “pintu pagar tersebut memang sengaja dikunci”. Timbalan Nazir itu adalah juga Mudir Sekolah Agama Rakyat yang menumpang di bangunan masjid tersebut.
Minda Acik tak boleh terima respon negatif tersebut. Sepatutnya pihak masjid peka dengan kesusahan ahli-ahli jemaah untuk datang berjemaah di masjid DD itu. Apalah susahnya bagi pihak masjid untuk membuka pintu pagar tersebut bagi mera’ikan tetamu-tetamu rumah Allah yang tinggal berjiran dengan masjid tersebut.
Bagi Acik, tidak membenarkan penduduk Taman AS menggunakan pintu pagar tersebut untuk datang ke masjid adalah suatu kezaliman. Malah ia mencabul hak mereka daripada menggunakan laluan pintas untuk keluar dari taman tersebut untuk ke mana mana juga, selain ke masjid.
Acik percaya, penduduk Taman AS tentu tidak terhalang menggunakan laluan pintas untuk keluar dari taman tersebut jika sekiranya tidak ada masjid DD di lokasinya sekarang. Ini bermakna kewujudan masjid itu bukanlah suatu rahmat bagi mereka tetapi sebaliknya. Begitulah juga dengan penduduk Taman Lestari.
Kalaulah sekiranya Acik masih tinggal di Taman AS, perkara ini akan Acik adukan kepada pihak berkuasa yang berkenaan. Bukanlah kerana Acik nak tunjuk kuat, tapi sekadar nak menuntut dan mempertahankan hak Acik berdasarkan undang-undang semasa. Islam tidak melarang seseorang mempertahankan haknya sebagai seorang individu, malah menggalakkannya jika yang turut dinafikan haknya adalah ramai lagi individu lain.
Selepas mendapati pintu pagar masjid tersebut berkunci, maka Acik pun beredar dari pintu itu untuk kembali ke kereta Acik. Ternampak pula seorang anak muda berjalan kaki ke arah pintu tersebut. Lantas Acik memberitahu beliau bahawa pintu tersebut berkunci.
Anak muda itu tak komen apa-apa. Sebaliknya mempelawa Acik membonceng motornya untuk ke masjid melalui pintu utama Taman AS itu. Acik menolak pelawaannya itu. Menolak bukan sebab tak sudi tapi sebab tidak mahu menyusahkan beliau untuk menghantar Acik balik ke kereta Acik selepas selesai solat Jumaat nanti. Lagi pun, bila dah berstatus WE (Warga Emas), rasa tak konfiden pula nak membonceng motor. Lebih-lebih lagi tanpa memakai helmet.
Sebentar kemudian Acik bertembung pula dengan seorang lagi anak muda. Beliau baru nak pakir motornya. Tapi bila melihat Acik datang dari arah pintu pagar tersebut, beliau terus membuat tanggapan bahawa pintu pagar tersebut berkunci. Lalu beliau mengatakan kepada Acik bahawa pada Jumaat lepas pun pintu tersebut tidak dibuka.
Yang Acik pasti telah merasa keciwa hari ini kerana pintu pagar itu tak dibuka adalah 3 orang termasuk Acik. Tapi sebelum Acik sampai ke pintu itu mungkin dah ada bakal jemaah lain yang keciwa. Begitulah juga selepas Acik meninggalkan Taman AS itu.
Kerana pintu pagar tersebut tak dibuka, maka Acik tak jadilah menunaikan solat Jumaat hari ini. Acik terus saja pulang ke rumah Acik di Saujana Damansara. Bukan kerana merajuk, tetapi takut keciwa sekali lagi. Maklumlah, sebagai ahli jemaah berstatus walk in, kalau depa tak benarkan masuk ke masjid, Acik nak boleh buat apa. Lagi pun, bila dah berstatus WE ni hati lebih sensitif dan cepat panas. Jadi lebih baiklah Acik mengelak dari kemungkinan yang tak baik.
Sejak berpindah ke TSD (Taman Saujana Damansara) ini, Acik sangat jarang ke masjid. Sebaliknya Acik menjadi kaki jemaah di surau TSD4 ini. Walaupun surau itu taklah sehebat masjid DD namun bagi Acik, ianya lebih mesra jemaah. Tambahan pula lokasinya sangat stratagik berbanding dengan lokasi masjid DD. Tak payah panjat bukit.
Di TSD ini ramai juga kaki surau yang berstatus WE macam Acik. Memandangkan lokasi masjid DD itu agak jauh dari taman kami, maka kami sangat berharap agar status surau di TDS ini dinaikkan menjadi surau Jumaat ASAP (as soon as possible – secepat mungkin). Semoga tak perlulah lagi kami WE yang dah tua dan lemah ini berebut tempat dengan jemaah-jemaah muda di masjid DD tiap-tiap hari Jumaat.
Sepanjang hidup Acik yang lalu, Acik dah pernah tinggal di merata tempat. Iaitu di Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, bahkan di Amerika Syarikat. Jadi, Acik pernah saja solat berjemaah di bermacam-macam surau dan masjid di merata rata tempat.
Semasa belajar di AS (Amerika Syarikat) 36 tahun dahulu, kami pelajar-pelajar Muslim menunaikan solat Jumaat di dalam gereja. Ketika itu tempat di mana Acik tinggal itu belum ada masjid. Namun semasa Acik pergi menziarahi tempat yang sama kira-kira 30 tahun kemudian, komuniti Islam di situ telah berjaya membeli sebuah gereja Korea dan menjadikannya masjid. Kali ini Acik tinggal selama empat bulan saja di sana.
Kalau nak dibandingkan surau di Taman SD ini dengan masjid yang berasal daripada gereja Korea itu, Acik rasa surau di Taman SD ini jauh lebih sesuai dan layak untuk dijadikan masjid. Apa lagi jika sekadar nak dijadikan surau Jumaat saja. Itulah sebabnya maka Acik tak boleh faham bila permohonan untuk menjadikan surau itu sebagai surau Jumaat tak diluluskan. Namun kami WE di Taman SD ini tidak akan putus asa. InsyaAllah kami akan terus merayu kepada pihak atasan agar permohonan kami itu diluluskan.
Acik telah mendapat makluman bahawa suatu usaha sedang dilakukan bagi membina sebuah surau baru di luar pintu masuk ke Taman SD ini. Iaitu berdekatan dengan pintu keluar daripada Apartmen Harmoni. Kononnya itulah surau yang bakal dijadikan surau Jumaat bagi Bandar PJU 10 ini.
Andaikata surau tersebut bakal dijadikan surau Jumaat, maka ia adalah manifestasi bahawa memang telah wujud keperluan sebuah surau Jumaat di bandar PJU 10 ini. Kalau demikianlah situasinya, mengapa tak dijadikan sahaja surau di Taman SD ini sebagai surau Jumaat. Apa perlunya nak bina surau lain lagi โ
Pada pendapat Acik, Bandar PJU 10 memerlukan sebuah masjid baru yang terletak di lokasi yang lebih strategik. Lokasi yang Acik cadangkan ialah di belakang Apartmen Suria iaitu di hadapan Apartmen Bayu. Masjid DD yang ada sekarang elok dijadikan sekolah agama keseluruhannya.
Dengan kepadatan penduduk DD sekarang masjid sedia ada hampir tidak mampu menampung keperluan jemaah yang kian bertambah besar. Keperluan jemaah bukan saja tentang ruang solat tetapi juga dari kemudahan mereka untuk sampai ke masjid itu dengan kenderaan sendiri. Lainlah jika yang berjemaah di masjid itu hampir semuanya datang dengan berjalan kaki.
Jika kita lihat suasana pada hari Jumaat di masjid DD sebelum PKP dan selepas PKP nanti, ia boleh membuat kita serik untuk bersolat Jumaat di masjid DD tersebut. Mujur juga bagi solat Aidilfitri dan Aidiladha ianya dibenarkan dibuat di surau-surau. Keadaan yang begitu sesak selepas selesai solat Jumaat membuat masjid itu kurang kondusif lagi untuk berjemaah.
Lebih-lebih lagilah bagi WE macam Acik ni. Jadi tak hairanlah jika ada diantara WE yang terpaksa memilih masjid lain bagi menunaikan solat Jumaat. Ini boleh mencetuskan kontroversi dari segi hukum fekah. Samada terhadap golongan berkenaan, mahupun ululamri yang gagal menyediakan kemudahan relevan yang diperlukan oleh mereka.
.

Wallahua’lam ๐น
PenCERAHan yg relevan โฌ๏ธ
Masjid: perlukah dikunci ?https://4uni2c.com/2019/03/30/masjid-perlukah-dikunci/
Wajarkah masjid dipenjarakan ?https://4uni2c.com/2017/02/11/wajarkah-masjid-dipenjarakan/
Masjid: sumber berbagai tauladan https://4uni2c.com/2019/10/11/masjid-sumber-berbagai-tauladan/
PenCERAHan terbaru โฌ๏ธ http://www.4uni2c.com
