Hudud – # 001 Manifestasi Atau Penyebab Kejayaan Sesebuah Negara Umat Islam ?
*** Untuk men CARI lain-lain PenCERAHan sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL
(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)
H u d u d : –
Manifestasi Ataupun Panyebab Kejayaan Sesebuah Negara Umat Islam ?
Seingat Acik, “hudud” bukanlah satu isu yang baru. Semasa Acik masih di peringkat sekolah rendah lagi, istilah “hudud” telah sering diperkatakan di Malaysia (ketika itu Malaya). Jadi ia bukanlah istilah yang asing bagi Acik. Arwah ayah Acik adalah antara orang-orang lama yang sering menyebut perkataan hudud.
Arwah ayah Acik itu merupakan seorang penyokong dan pendokong tegar PAS era Al marhum Datuk Mohd Asri Hj Muda. Malah beliau telah menjadi penyokong PAS lebih awal dari itu. Sokongan beliau itu bukanlah atas dasar ikut-ikutan. Sebaliknya beliau benar-benar faham akan konsep dan falsafah politik tanah air ketika itu. Tentulah ada sebabnya mengapa PAS menjadi pilihan beliau sebagai wadah perjuangan.
Selingan 1 :
Hudud pencetus phobia bukan Muslim terhadap Islam
http://www.youtube.com/watch?v=RF1bY8NCmzA
Acik yakin bahawa ketika itu memang hudud boleh dilaksanakan di Malaysia. Kerana pada ketika itu lebih dua pertiga dari bilangan ahli-ahli Parlimen kita adalah terdiri dari individu-individu Muslim. Jika kesemua mereka mempunyai hasrat hendak melaksanakan hudud ketika itu, bilangan mereka sudah memenuhi syarat untuk meminda perlembagaan sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan itu sendiri. Ini bagi memberi laluan kepada perlaksanaan hudud di negara Malaysia.
Namun demikian, realitinya tidak pula begitu. Di kalangan ahli-ahli Parlimen, ramai yang tidak menyokong perlaksanaan hudud. Kita tak hairan jika yang tidak menyokong hudud itu ahli-ahli parlimen yang bukan beragama Islam. Tetapi di kalangan mereka yang lahir dan hidup sebagai seorang Muslim pun ramai yang turut tidak menyokong hudud. Alasan popular ketika itu, yang Acik masih ingat ialah, hudud tidak sesuai di Malaysia kerana rakyatnya terdiri dari berbagai-bagai bangsa dan agama.
Nampaknya, yang masih beriya-iya sangat hendak melaksanakan hudud dahulu, kini dan selama-lamanya ialah PAS. Acik boleh faham kenapa hudud menjadi agenda perjuangan PAS. Sebagai sebuah parti yang berjenama Islam, maka sudah tentulah halatuju parti tersebut ke arah pelaksanaan sistem pemerintahan Islam. Dan hudud merupakan satu komponen penting dalam sistem pemerintahan Islam.
Samada cita-cita itu mampu dicapai ataupun sebaliknya, itu mungkin dianggap suatu isu yang tidak patut menjadi pertikaian oleh mana-mana umat Islam ketika itu. Bagi sesiapa yang mempertikaikannya, maka ia mungkin dianggap menentang hukum Allah. Akibatnya, ia dianggap telah rosak akidahnya atau jatuh kafir.
Berdasarkan persepsi peribadi Acik, hudud sebenarnya boleh dilihat dari dua sudut yang berbeza. Pertama ia boleh dilihat sebagai manifestasi kejayaan yang telah dicapai oleh sesebuah negara umat islam. Kedua ia dilihat sebagai penyebab bagi mencapai kejayaan tersebut. Kejayaan bagi sesebuah negara boleh dinilai berdasarkan tahap keamanan dan kemakmuran yang telah dicapai oleh negara tersebut.
Pada peringkat awal Acik menyokong perjuangan menegakkan keadilan Islam dahulu, Acik pun turut berpegang kepada pendirian yang sama. Mana-mana individu Islam yang tidak menyokong cadangan atau usaha ke arah pelaksanaan hukum hudud, bermakna dia mengingkari perintah Allah. Ia seolah-olah mengatakan bahawa menunaikan haji itu tidak wajib ataupun mengatakan zakat itu tidak wajib, hatta solat pun tidak wajib.
Mengatakan sesuatu yang wajib itu tidak wajib (ataupun harus), sudah cukup besar dosanya. Malah ada ulama menghukumkan bahawa orang Islam yang berpendirian demikian sebagai rosak akidah atau jatuh kafir, nauzubillah ! Walaubagaimana pun setelah belajar mengenal realiti semasa, pegangan Acik kepada pendapat tersebut (khususnya tentang isu perlaksanaan hudud) mulai tercabar dan tercalar. Persepsi Acik terhadap tuntutan perlaksanaan hukum hudud kini mulai longgar. Bagi memahami persepsi Acik yang terkini, maka biarlah Acik ambil ibadat haji sebagai analogi.
Setiap orang Islam wajib yakin bahawa ibadat haji adalah satu daripada lima rukun Islam. Sesuaatu yang berstatus rukun dalam Islam ialah, ia wajib dilaksanakan oleh setiap individu Muslim. Jika tidak melaksanakannya, maka individu tersebut dianggap Muslim yang tidak sempurna, malah boleh tergelincir dari landasan Islam atau jatuh kafir.
Namun demikian, ironinya ialah tidak semua orang Islam diwajibkan mengerjakan haji walaupun dari segi prinsipnya haji memang telah difardukan keatas setiap Muslim. Keunikan hukum Islam dalam bab fardu haji ini ialah, hanya individu yang benar-benar berkemampuan saja yang diwajibkan mengerjakannya. Manakala yang tidak atau belum cukup kemampuan dimaafkan atau dikecualikan.
Dengan kata lain, Islam tidak menuntut agar setiap umatnya menunaikan ibadat haji ke tahap “by hook or crook”. Yakni, sehinggakan terpaksa “bergadai golok”. Malah sebaliknya Islam melarang umatnya yang belum mampu, dari menunaikan ibadat haji. Ini bermakna Islam mahukan umatnya menyelesaikan dahulu segala urusan hidupnya yang lain.
Andaikata seorang Muslim itu meletakkan keutamaan yang salah terhadap fardu haji, maka ia akan menyusahkan dirinya sendiri serta tanggungannya. Akhirnya membebankan Muslim yang lain dengan masalahnya. Misalnya tidak memberi pendidikan kepada anak-anak kerana mahu menyimpan wang untuk menunaikan fardu haji.
Bagi Muslim yang cukup kemampuan pun Islam tidak mewajibkannya mengerjakan haji melainkan sekali sahaja dalam tempoh hayatnya. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri pun mengerjakan ibadat haji hanya sekali sahaja. Oleh itu adalah lebih utama jika seseorang yang telah mengerjakan haji tidak mengulanginya. Walaupun hukumnya sunat, namun sumber yang dikorbankan bagi megerjakan haji untuk kali kedua itu akan mampu menjana pahala yang jauh lebih besar dengan melakukan amal jariah yang lain. Misalnya membantu rakyat yang miskin yang masih bersepah di seluruh negara.
Ibadat haji tentulah tidak boleh disamakan dengan solat fardu yang juga wajib kepada setiap umat Islam. Solat fardu adalah wajib bagi setiap individu Muslim tanpa ada yang terkecuali, melainkan bagi mereka yang bukan mukallaf (seperti tak berakal, gila dan seumpamanya) sahaja. Dengan kata lain, hatta orang sakit pun masih wajib melaksanakan fardu solat selagi berada dalam keadaan siuman.
Oleh sebab ibadat haji hanya diwajibkan keatas Muslim yang berkemampuan sahaja, maka haji itu bolehlah dianggap sebagai manifestasi kejayaan seseorang individu Muslim semasa hayatnya. Ia bukanlah sebagai penyebab kepada kejayaan individu Muslim berkenaan dalam usaha mencapai kesenangan dalam hidupnya.
Supaya lebih jelas tentang maksud penyataan Acik di atas, mari kita ambil satu senario berikut sebagai analogi :-
Mat ialah seorang pekebun di sebuah kampung terpencil di pendalaman Kelantan. Hidupnya semasa masih muda agak susah, ibarat ayam, “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Namun selepas berkahwin dengan Minah, kehidupan Mat mengalami perubahan positif secara mendadak.
Sebidang tanah sawah yang diwarithi Minah dari orang tuanya membolehkan Mat menambah pendapatannya dengan agak ketara. Ini membuat Mat suami isteri mampu menyara pendidikan anak-anak mereka sehingga semua mereka berjaya sampai ke menara gading.
Selepas kira-kira 30 tahun Mat mendirikan rumah tangga dengan Minah, kedua pasangan suami isteri tersebut berjaya menunaikan fardu haji. Sebahgian pembelanjaan mereka adalah hasil dari simpanan berdikit-dikit mereka sejak baru kahwin. Sebahgian lagi adalah dari sumbangan anak-anak mereka yang kini telah pun bekerja dengan pendapatan yang agak selesa.
Merujuk kepada kisah Mat dan Minah di atas, kehidupan Mat di hujung usianya adalah jauh lebih senang berbanding dengan kehidupan beliau ketika zaman mudanya dahulu. Cuba kita renungi kedua-dua kenyataan berikut dan pilih yang mana kita rasa lebih benar dan rasional
- Ibadat haji telah berjaya merobah kehidupan Mat dari susah menjadi senang
- Ibadat haji Mat itu adalah manifestasi bahawa beliau seorang yang telah mencapai kesenangan dalam hidupnya
Andai kata kita bersetuju dengan kenyataan pertama di atas, agaknya berapa ramaikah orang yang akan bersama-sama kita. Jika lebih ramai yang bersama-sama kita berbanding dengan yang menentang, maka sangat wajarlah setiap kita umat Islam mengutamakan perlaksanaan ibadat haji sebelum menunaikan tanggungjawab yang lain. Rasional berbuat demikian ialah, bila hidup kita sudah senang, maka bermacam-macamlah amal jariah lain yang akan mampu kita lakukan.
Jika benar bahawa fardu haji itu adalah penyebab kesenangan yang ingin dicapai, maka apa salahnya jika kita berhutang sana sini semata-mata untuk melaksanakan ibadat haji. Semua institusi kewangan seperti Bank Islam dan lain-lain pasti tidak akan teragak-agak untuk memberi pinjaman kepada kita yang berhasrat menunaikan ibadat haji. Tak perlu ada penjamin atas pinjaman tersebut kerana ke”berkatan” ibadat haji itu sendiri pun sudah memadai.
Malangnya Islam tidak pula mengharuskan umatnya berhutang bagi tujuan menunaikan ibadat haji. Sebaliknya Islam melarang berbuat demikian kerana ia akan mengundang pelbagai masaalah sosial yang lain. Malah mungkin akan menimbulkan fitnah terhadap Islam. Ini dengan sendirinya menafikan dakwaan bahawa haji adalah penyebab kepada kesenangan hidup seseorang.
Kembali kita kepada isu hudud, jika ia dilihat sebagai penyebab kepada kejayaan sesebuah negara umat Islam, maka sangat wajarlah hukum hudud dilaksanakan terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti-aktiviti lain. Malangnya sehingga kini kita masih belum jumpa bukti bahawa hudud adalah faktor penyebab kepada kejayaan sesebuah negara. Oleh itu dakwaan mengatakan hudud dapat menjamin keamanan sesebuah negara masih boleh disangkal.
Di kalangan negara-negara umat Islam, sudah ada yang telah melaksanakan hukum hudud. Antaranya ialah Pakistan, Arab Saudi, Sudan dan Afghanistan. Namun negara-negara tersebut gagal menjadi contoh sebagai negara yang telah berjaya. Kegagalan mereka menyebabkan keyakinan umat Islam sendiri terhadap keberkesanan hudud tidak bertambah mantab. Apa lagi bagi orang-orang yang bukan Islam.
Sebaliknya negara yang layak dijadikan contoh sebagai negara yang aman dan makmur adalah negara-negara milik orang bukan Islam. Penduduk negara-negara tersebut majoritinya mungkin langsung tidak pernah dengar tentang hudud. Antaranya ialah Jepun, Amerika Syarikat, Switzerland, Finnland dan lain-lain. Ini menjadi bukti bahawa tanpa perlaksanaan hudud pun sesebuah negara itu masih dapat mencapai keamanan dan kemakmuran. Atau dengan perkataan lain, hudud bukanlah faktor penyebab (ataupun penentu) bagi kejayaan sesebuah negara.
Berdasarkan realiti yang disebut di atas, Acik lebih cenderung melihat hudud sebagai manifestasi bukan sebagai penyebab kejayaan sesebuah negara umat Islam. Sama seperti melihat fardu haji. Jika haji adalah merupakan manifestasi kesenangan individu yang mengerjakannya, maka hudud juga adalah manifestasi kejayaan negara yang melaksanakannya.
Jika hendak menunaikan fardu haji seseorang itu perlu mencapai kesenangan dalam hidup terlebih dahulu, maka begitulah juga dengan hudud. Bagi melaksanakan hukum hudud sesebuah negara wajarlah berusaha mencapai keamanan dan kemakmuran terlebih dahulu. Demi mencapai tahap keamanan dan kemakmuran tersebut, apa salahnya kita belajar dari negara-negara yang telah maju seperti yang disebut di atas.
Jika negara-negara tersebut berjaya mencapai tahap keamanan dan kemakmuran yang begitu membanggakan, apakah negara umat Islam tak mampu berbuat demikian ?. Acik percaya bahawa negara-negara umat Islam pun tidak ketinggalan dari aspek kemampuan berbanding dengan negara-negara maju tersebut.
Malah, kebanyakan negara umat Islam telah dianugerahi Allah dengan pelbagai sumber kekayaan. Contohnya, tanah yang subur untuk pelbagai aktiviti pertanian dan penternakan. hasil minyak yang melimpah ruah, pelbagai jenis batu batan dan logam berharga yang berlebihan, dan lain-lain lagi sumber kekayaan semula jadi.
Negara-negara bukan Islam banyak yang telah pun mencapai tahap kejayaan yang tinggi. Walaupun tanpa bercita-cita akan melaksanakan hukum hudud, namun Allah masih mengizinkan mereka mencapai kejayaan tersebut. Apakah mustahil Allah akan menganugerahi kita kejayaan yang serupa jika kita juga berusaha dengan gigih seperti mereka.
Berbezanya kita dari mereka ialah kerana kita bercita-cita melaksanakan hukum hudud apabila berjaya mencapai tahap keamanan dan kemakmuran tertentu. Dengan kata lain, apabila telah berjaya mewujudkan suasana yang kondusif bagi perlaksanaan hudud, maka hudud akan kita laksanakan. Jika kita tak berjaya mencapai tahap keamanan dan kemakmuran yang 100 peratus sama dengan negara-negara berkenaan, 85 peratus saja pun jadilah. Walaupun situasi sedemikian dianggap utopia (keadaan yang tak mungkin wujud) oleh kebanyakkan orang, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil boleh dicapai oleh negara umat Islam.
Kejayaan sesebuah negara boleh diukur melalui dua akspek penting. Pertama dari aspek keamanan dan kedua dari aspek kemakmuran. Jika sesebuah negara itu berjaya mencapai satu tahap keamanan yang tinggi, maka tahap kemakmuran pun akan mudah dicapai atau dipertingkatkan.
Bagi mencapai tahap keamanan yang tinggi maka setiap rakyat perlu dididik supaya peka terhadap segala aspek keselamatan. Setiap rakyat juga perlu dididik agar berani mempertahankan hak dan kebenaran. Kata peribahasa kita, “berani kerana benar, takut kerana salah”. Jika keadaan ini wujud dalam negara umat Islam, maka perlakuan jenayah pasti akan semakin berkurangan.
Jika ada mana-mana pihak yang ingin mencetuskan sesuatu jenayah, dengan sendirinya ia akan sedar bahawa peluang baginya untuk terlepas dari hukuman hampir tiada. Institusi penguatkuasaan undang-undang yang rata-rata jujur dan berani melaksanakan tugas masing-masing tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjenayah. Tidak kira yang melakukan jenayah itu dari kalangan orang bawahan maupun orang atasan.
Kehadiran pasukan keselamatan di taman-taman perumahan sekarang ini adalah manifestasi bahawa suasana aman sebenarnya belum wujud di negara kita. Begitu juga dengan gril besi yang dipasang pada pintu dan tingkap rumah-rumah kediaman. Padahal rumah-rumah tersebut sudah pun berada di dalam suatu kawasan yang dikelilingi oleh pagar besi.
Tak cukup dengan ciri-ciri keselamatan demikian, diwujudkan pula pasukan keselamatan khas bagi mengawal taman perumahan berkenaan siang dan malam. Semua ini memberi gambaran bahawa keselamatan jiwa dan harta benda rakyat sentiasa diancam oleh penjenayah. Hati kebanyakan rakyat tidak bebas dari pelbagai bentuk kebimbangan.
Menyediakan sendiri sistem keselamatan di kawasan-kawasan perumahan melibatkan kos yang terpaksa ditanggung oleh setiap penduduk. Pada hal di negara-negara maju ciri-ciri keselamatan sedemikian tak diperlukan langsung. Rakyat tak perlu menanggung perbelanjaan tambahan bagi membeli jaminan keselamatan di kawasan-kawasan kediaman. Pasukan polis yang bilangan anggotanya melebihi ratusan ribu itu sepatutnya sudah cukup berkesan bagi menjamin keselamatan rakyat.
Negara yang berjaya juga adalah negara yang makmur. Kemakmuran bermakna rakyat merasa cukup dengan segala keperluan hidup. Masing-masing rakyat dapat makan dengan kenyang pelbagai makanan yang berkhasiat. Pakaian masing-masing juga cukup bagi melindungi diri masing-masing dari kesejukan. Rumah tangga masing-masing pun cukup selesa. Kesihatan mereka juga terjaga dengan baik.
Dalam keadaan dimana rakyat rata-rata serba cukup, maka tidak timbullah keperluan yang mendesak untuk mencuri. Ini amat berbeza dengan keadaan dimana ramai rakyat berada dalam kelaparan dan serba kekurangan. Walaupun masing-masing sedar bahawa mencuri itu satu kesalahan, namun kesedaran ini tidak mampu menghalang mereka dari mencuri bagi menampung keperluan hidup semasa yang lebih mendesak.
Mungkin ada pihak berkata bahawa sampai bila-bila pun hudud tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya kita menunggu hingga suasana tersebut di atas wujud baru nak laksanakan hudud.
Pihak tersebut adalah sebenarnya menafikan realiti bahawa suasana tersebut telahpun wujud di beberapa negara maju. Ataupun memang mereka belum maklum bahawa telah ada negara-negara maju yang telah berjaya mencapai tahap keamanan dan kemakmuran tersebut.
Bagi mereka ini Acik cadangkan supaya menziarahi negera-negara berkenaan dan tinggal di sana beberapa bulan.
Acik sendiri pun baru saja berpengalaman tinggal selama empat bulan di salah sebuah negara tersebut. Kata Mad Saleh, “seeing is believing”. Dengan melihat sendiri maka baru kita akan percaya. Ya, memang di negara maju kita rasa lebih selamat dan hidup lebih teratur berbanding dengan berada di negara sendiri. Padahal rakyat negara tersebut rata-rata tidak tahu pun apa itu hudud
Pandangan dan pendirian Acik terhadap hudud sekarang mungkin akan mengundang berbagai kritikan malah tohmahan, Bebagai kategori telahpun dicipta oleh mereka yang mendakwa sebagai pejuang-pejuang (tulen) Islam bagi melabelkan orang-orang yang seperti Acik ini. Sebabnya ialah kerana pandangan kami tidak sebulat dan sewarna dengan pandangan mereka.
Contohnya, mungkin ada yang akan melabelkan Acik sebagai sekularis atau liberalis. Mungkin akan ada yang melabelkan Acik sebagai penyebar keraguan terhadap hukum Allah. Malah mungkin ada yang akan melucutkan status Acik sebagai seorang Muslim, nauzubillah. Mudah-mudahan Allah menyelamatkan iman Acik dan memelihara mereka dari dosa mengkafirkan orang Islam lain.
Bagi mereka ini (jika wujud), Acik ingin memahamkan mereka akan perbezaan antara menolak hudud dengan tidak menyokong perlaksanaan hudud atas sebab-sebab yang munasabah. Misalnya, kerana belum cukup kemampuan. Sekali lagi mari kita gunakan fardu haji sebagai analogi.
Katakanlah Si Ani seorang yang kaya mengikut persepsi umum. Beliau tinggal di rumah besar, memiliki kerita mewah dan mampu membiayai anak-anaknya belajar di luar negara. Namun demikian Si Ani belum lagi bergelar Haji. Akibat beliau belum lagi menunaikan fardu haji, maka ramailah kawan dan lawan yang menyangka bahawa beliau tidak percaya kefarduan haji itu. Adakah kita pun akan turut sama dengan mereka yang berburuk sangka terhadap di Ani itu ?
Implikasi sangkaan buruk kita terhadap Si Ani itu ialah, secara tidak langsung mengatakan beliau telah rosak akidah kerana menafikan kefarduan ibadat haji itu. Rosak akidah bermakna kafir. Apakah nasib kita jika iman Si Ani itu masih lagi sah di sisi Allah s.n.w. ? Sedangkan kita sedia maklum bahawa tuduhan “kafir” terhadap sesama Islam akan kembali menimpa diri kita sendiri sekiranya tuduhan itu tersasar dari hakikat kebenaran. Tidak siapa pun tahu hakikat kebenaran melainkan Allah.
Bukankah lebih baik jika kita sama-sama mengamalkan fikiran terbuka dalam menghadapi pelbagai pandangan yang berbeza tentang apa juga isu ? Kita tak wajar bersikap seperti “Si Buta Jatuh Telaga” iaitu terlalu taksub dan takabbur dengan kemampuan kita dalam memahami segala isu. Tidak mustahil bahawa diri kita sendiri pun tidak lebih dari Si Buta yang memahami tentang “susu” di dalam kisah “Mati Terlekat Susu”. Sebaliknya, kefahaman pihak yang kita anggap bodoh dan jahil itulah kefahaman yang betul, sedangkan kefahaman kita sendiri yang kurang tepat ataupun salah.
Perlaksanaan hudud sebenarnya bukanlah satu kerja mudah sepertimana yang kita fahami berdasar kemampuan fikiran kecil kita sendiri. Perlaksanaannya melibatkan pemindaan perlembagaan negara. Pindaan perlembagaan tidak akan berjaya dilakukan jika tidak mendapat sokongan dua pertiga dari seluruh ahli Parlimen.
Berdasarkan fakta sejarah, belum pernah mana-mana parti pembangkang menang kesemua kerusi pilihanraya yang ditandingi mereka. PAS juga tidak terkecuali. Andaikata PAS memenangi setiap kerusi yang ditandinginya pun, bilangan kerusi PAS dalam Parlimen masih belum cukup bagi membuat sebarang pindaan pada perlembagaan negara.
Di negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi ini, jika kita seorang ahli Parlimen yang paling senior pun, kita tidak berhak memaksa ahli Parlimen lain menyokong kita. Oleh itu, agak keterlaluan jika kita mengharap beberapa kerat ahli Parlimen PAS akan berjaya mempengaruhi dua pertiga dari seluruh ahli-ahli Parlimen bukan PAS untuk sama-sama menyokong pemindaan perlembagaan bagi membolehkan perlaksanaan hudud.
Oleh itu bagi Acik, agak terlalu jauh bagi PAS untuk mencapai satu tahap kejayaan yang memungkinkannya melaksanakan hukum hudud. Acik percaya setiap pemimpin PAS menyedari realiti ini. Maka amat tidak wajar jika pemimpin-pemimpin PAS terus mendakwa bersungguh-sungguh akan melaksanakan hukum hudud di Malaysia tetapi dalam masa yang sama mereka sedar bahawa kemungkinan melakukannya hampir mustahil.
Adalah juga tidak wajar bagi PAS menafikan kekurangan dan kelemahan yang masih dialaminya itu. Tindakan menafikan kelemahan sendiri adalah sama dengan takabbur atau tidak jujur kepada diri sendiri. Sedangkan elemen paling penting yang menjadi asas kejayaan sesuatu usaha murni ialah kejujuran. Oleh itu, PAS wajar jujur dalam segala segi sejajar dengan jenama Islam yang diterimapakainya.
Acik lihat isu hudud begitu kuat sekali dicanang PAS akhir-akhir ini. Tindakan ini mungkin umpama “untung secupak, rugi segantang” buat PAS. Ia telah dan akan terus menjauhkan rakyat yang belum Muslim dari Islam dan PAS. Dengan lain perkataan, tindakan tersebut sedang dan akan terus menghakiskan kepercayaan rakyat terhadap PAS sebagai parti yang berkredibiliti untuk memerintah Malaysia.
Akibatnya nanti, bilangan ahli Parlimen PAS bukan makin bertambah ramai malah sebaliknya semakin susut. Ini bukan mendekatkan PAS kepada kemungkinan melaksanakan hudud, tetapi sebaliknya menjauhkan lagi kemungkinan tersebut dari PAS.
Sejajar dengan “PAS for all” maka Acik percaya PenCERAHan ini dapat diterima dengan cara positif dan berlapang dada, oleh semua pendokong dan penyokong PAS.
Wallahualam.
d a u l a t r a k y a t !
Lain-lain PenCERAHan yang relevan :
– Si Buta Jatuh Telaga : https://4uni2c.com/2013/11/16/cerekana-13y16-si-buta-jatuh-telaga/
– Mati Terlekat Susu : https://4uni2c.com/2014/01/07/cerekana-14107-mati-terlekat-susu/
– https://4uni2c.com/2014/05/07/alis-ordeal-001-whe-two-generals-fight-one-another/ (PAS belum cukup kredibiliti utk laksananakan hudud)
** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK: http://www.4uni2c.com