Major Zaidi # 02 Mangsa POLITIK Yang Berhak Dibela
*** Untuk menCARI lain-lain PenCERAHan sila KLIK pada bulan di bawah ARCHIVES di kanan SKRIN, kemudian SKROL.
(Pengguna smartphone (SP) sila SEARCH di sudut atas-kanan skrin SP anda)
Mangsa Politik yang berhak dibela
Berikut hanyalah satu perumpamaan :
Hypermarket CU (HCU) telah memprosmosikan sejenis pewarna (dye) untuk pakaian, secara besar-besaran. Acik adalah antara beribu-ribu pelanggan yang terpengaruh dengan promosi tersebut. Selepas mengguna pewarna tersebut ke atas beberapa pasang pakaian putih anak-anak Acik, barulah Acik sedari bahawa pewarna yang didakwa sebagai “pewarna kekal” itu rupa-rupanya adalah “pewarna tanggal”.
Turut membelinya juga ialah seorang individu bergelar MZ (Mu Zik). Beliau merasa dirinya juga tertipu kerana turut sama membeli pewarna berkenaan. Bagi MZ, menipu bermakna menganggap pihak yang ditipu itu bodoh. Bodoh adalah satu sifat yang hina. Oleh itu tidak siapa pun yang suka dilayan malah dianggap sebagai bodoh.
Membuat orang lain merasa dirinya bodoh boleh menimbulkan kemarahan oleh orang tersebut. Oleh itu penipuan adalah satu bentuk provokasi kerana boleh mencetuskan kemarahan di pihak yang kena tipu. Kerana tidak tahan marah, maka Encik MZ telah membuat Laporan Polis sebagai bantahan terhadap HCU yang telah melakukan penipuan terhadap dirinya.
Akibat dari tindakan MZ tersebut, pihak pengurusan HCU telah membatalkam kad diskaun yang dikeluarkan kepada beliau. Malah HCU mengugut MZ dengan tindakan undang-undang terhadap beliau kerana menuduh syarikat HCU sebagai penipu. Tuduhan tersebut dijangka akan menjejaskan perniagaan syarikat HCU dengan agak serius.
Berdasarkan perumpamaan di atas, apakah sikap Acik terhadap MZ ?
Acik rasa bahawa tindakan MZ itu adalah tidak wajar disokong kerana ia mungkin didorong oleh perasaan marah yang agak melampau. Apa salahnya jika beliau (MZ) sekadar berdiam diri saja kerana kerugian yang dialami beliau bukanlah besar sangat pun. Beliau tak akan bankrupt (muflis) pun akibat penipuan tersebut.
Lagi pun, bukan beliau seorang saja yang membeli pewarna tersebut. Ramai lagi pelanggan-pelanggan lain yang turut membelinya termasuk Acik sendiri. Tetapi tidak ada pula yang sampai membuat laporan Polis macam beliau. Jadi MZ tak bolehlah nak salahkan HCU kerana membatalkan kad diskaun yang dikeluarkan kepada beliau oleh hypermarket tersebut.
Jika pihak HCU nak ambil tindakan undang-undang sekalipun terhadap MZ, HCU tak wajar disalahkan. Bukankah di negara demokarsi seperti Malaysia ini, setiap individu atau pihak bebas bertindak demikian demi menyelamatkan kepentingannya ? Biarlah mahkamah saja yang menentukan samada plaintaif kah di pihak yang benar ataupun pihak yang tersangka yang lebih memiliki kebenaran.
Adakah anda juga bersikap seperti Acik terhadap MZ ?
Jika anda juga bersikap seperti Acik maka tak payahlah meneruskan lagi pembacaan PenCERAHan ini. Tetapi jika sebaliknya sila teruskan lagi pembacaan anda.
Dalam senario di atas, Mu Zik dikiaskan terhadap Mejar (P) Zaidi Ahmad. Beliau kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tentera berhubung dengan isu “dakwat tanggal” yang didakwa sebagai “dakwat kekal” oleh SPR. Dakwat tersebut telah digunakan semasa PRU13 (Pilihan Raya Umum Ke-13) dahulu.
Penggunaan “dakwat tanggal” yang didakwa SPR sebagai “dakwat kekal” telah menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak. Pengundi-pengundi yang menyokong BN, mungkin tidak merasa apa-apa. Tetapi bagi yang tidak sukakan BN, ia adalah merupakan satu bentuk provokasi. Walaupun setengahnya menganggap ia tidaklah serius, namun ramai pula yang merasai sebaliknya.
Melalui penggunaan “dakwat tanggal” tersebut, pendirian politik seseorang penggundi itu telah boleh dibaca. Jika beliau tidak merasa apa-apa, maka besar kemungkinan beliau berpihak kepada BN. Jika beliau merasa seronok pula dengan penipuan tersebut maka sudah sahlah bahawa beliau penyokong tegar BN.
Begitulah juga sebaliknya. Jika seseorang pengundi itu berasa sedih atau sekadar tidak berpuas hati dengan berdiam diri sahaja, maka besar kemungkinan beliau ialah penyokong pembangkang. Sebaliknya, sekiranya beliau menzahirkan ketidakpuasan hatinya, maka tentulah beliau seorang penyokong tegar pembangkang.
Isu “dakwat tanggal” tersebut sebenarnya mendedahkan kepada rakyat dua implikasi penting. Pertama ia adalah manifestasi bahawa kerajaan tidak mengamalkan prinsip kejujuran. Tahap kejujuran kerajaan itu adalah terlalu rendah. Ini dibuktikan dengan tindakan menipu rakyat secara terang-terangan tanpa segan silu dan rasa bersalah.
Kalaulah di siang hari pun seseorang itu sanggup menipu, bayangkanlah apa yang dia tak sanggup buat jika di malam hari. Siang hari di sini Acik maksudkan ialah perkara-perkara yang mudah dikesan atau dibuktikan. Manakala malam hari bermaksud perkara-perkara yang tak jelas dan tersangat susah nak dibuktikan.
Jika nak diberi contoh tentulah tak terbilang banyaknya. Antaranya ialah penglibatan dalam gejala rasuah, tidak berlaku adil terhadap rakyat yang dianggap bodoh dan bla bla bla ….. Malah dalam urusan BR1M pun pada persepsi peribadi Acik ia amat meragukan kerana tiada ketelusan. (PenCERAHan : https://4uni2c.com/2012/12/25/4uni2c12z25-br1m-2-0-dan-strategi-abu-nawas/) Cuma nak membuktikannya saja amat susah. Ia ibarat nak membuktikan bahawa lokasi yang didakwa oleh Abu Nawas sebagai pusat bumi itu adalah salah.
Implikasi yang lebih penting bagi isu “dakwat tanggal” tersebut ialah implikasi yang kedua. Penggunaan “dakwat tanggal” merupakan satu strategi bagi mendedahkan siapakah yang tidak menyokong BN. Sebagaimana yang disebut di awal tadi, seseorang yang menyokong BN tak akan marah terhadap penggunaan “dakwat tanggal” tersebut. Jauh sekali nak membantahinya.
Bagi Acik tidak menjadi kesalahan jika sekadar ingin mengenalpasti yang mana kawan yang mana lawan. Dalam sistem politik demokrasi ia membantu kedua-dua pihak, samada parti pemerintah maupun parti pembangkang, dalam usaha memenangi hati rakyat. Parti mana yang lebih berjaya memenangi hati majoriti rakyat maka parti tersebutlah yang layak diberi mandat memerintah negara.
Apa yang menjadi masalah ialah kaedah yang digunakan dan objektifnya. Jika cara yang digunakan itu ialah dengan menipu rakyat di siang hari, maka cara ini wajib dibantah. Tidak siapa pun akan setuju cara begitu melainkan penyokong-penyokong tegar pihak yang menipu ataupun rakyat yang bodoh saja.
Begitu juga, jika dengan berniat buruk terhadap rakyat sendiri, lebih baik tidak tahu siapa yang menyokong siapa. Biar BN tak tahu siapakah bukan ahli BN yang memberi undi kepada PR. Manakala PR pun tidak tahu siapakah bukan ahli PR yang memberi undi kepada BN. Pendek kata, biarlah undi itu benar-benar rahsia peribadi seseorang pengundi dan tiada siapa pun berhak mengambil tahu.
Khususnya berkaitan dengan penggunaan “dakwat tanggal” tersebut ternyata bahawa ia mempunyai niat buruk. Pihak yang dikenal pasti sebagai bukan penyokong BN cuba dianiayai. Bukan akan dipujuk supaya tertarik untuk menyokong BN tetapi diugut dengan hukuman dan kesusahan. Mereka ini dikhianati supaya menjadi iktibar kepada yang lain. Ini adalah suatu tindakan yang secara tak langsung bercanggah dengan prinsip demokrasi.
Tindakan Mejar (P) Zaidi Ahmad membuat Laporan Polis terhadap penggunaan “dakwat tanggal” yang didakwa sebagai “dakwat kekal” itu tentu ada implikasinya. Ia jelas sebagai implikasi, bahawa beliau bukan penyokong BN. Malah dengan tindakan Mejar (P) Zaidi yang dianggap ekstrim itu, Acik penuh yakin bahawa beliau penyokong tegar PR.
Tapi apakah salahnya menjadi penyokong kuat PR ? Beliau sebenarnya tidak bersalah untuk menyokong mana-mana parti politik yang berdaftaor dengan ROS. Ini adalah berdasarkan prinsip demokrasi. Walaupun beliau berkhidmat dengan kerajaan, tidak bermakna beliau wajib menyokong BN.
Rakyat yang celik politik dah faham bahawa kerajaan dan BN adalah dua entiti yang berlainan. Dengan kata mudah, kerajaan ialah institusi yang menguruskan pentadbiran negara. BN pula merupakan sebuah parti politik sama seperti PAS, PKR, DAP dan lain-lain.
Berperanan sebagai parti yang menerajui kerajaan atas mandat yang diberi rakyat, bukanlah menjadikan BN itu kerajaan. Taklah salah jika kita berkata anjing itu ialah binatang berlaki empat. Tetapi mengatakan binatang berkaki empat itu adalah anjing tentulah tidak betul. Begitulah juga, kita boleh kata bahawa BN adalah komponen penting dalam kerajaan. Tetapi nak dakwa bahawa BN itu kerajaan adalah salah.
Institusi yang bergelar kerajaan itu terdapat beberapa komponen di dalamnya. Pertama ialah birokrasi atau jentera kerajaan. Dalam komponen ini terdapat berbagai-bagai kementerian, jabatan, badan berkanun agensi, dan lain-lain. Semua yang berkhidmat dengan institusi tersebut adalah penjawat-penjawat awam.
Penjawat awam merangkumi sejumlah besar rakyat. Mereka termasuk yang makai uniform dan yang tidak memakai uniform. Contoh penjawat awam yang memakai uniform ialah anggota tentera, polis, imigresen, maritim, kastam, bomba, jururawat dan sebagainya.
Contoh penjawat awam yang tidak memakai uniform pula ialah guru, kerani, hakim, peguam, jurutera, akauntan, doctor, malah sesiapa juga yang dibayar gaji oleh kerajaan secara tetap. Turut juga tergolong sebagai penjawat awam ialah menteri-menteri dan governor (P.Pinang dan Melaka)
Komponen kedua dalam insititusi kerajaan ialah parti-parti politik yang menyertai PRU dan mempunyai wakil masing-masing dalam Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri. Kedua-dua pihak samada parti yang memerintah dan yang membangkang adalah penting bagi kerajaan yang berstatus demokrasi. Tanpa pembangkang maka kerajaan tersebut tidak layak lagi bergelar kerajaan demokrasi.
Komponen yang maha penting ialah rakyat. Rakyatlah sebenarnya yang memiliki kuasa pemerintahan dalam mana-mana kerajaan demokrasi. Pemimpin naik adalah dengan pilihan rakyat. “Rakyat adalah Raja” kata Ali Abd Jalil, anak Acik yang terpaksa berhijrah ke Sweden itu. Malangnya di Malaysia khususnya, rakyat rata-rata tidak tahu hak mereka dalam kerajaan demokrasi.
Hak mengundi parti mana yang beliau suka adalah hak mutlak rakyat berkenaan. Hak ini tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak. BN bukanlah kerajaan dan kerajaan juga bukan BN. Oleh yang demikian setiap penjawat awam tidak boleh dianggap sebagai barua BN. Dengan perkataan mudah, beliau tidak wajib mematuhi mana-mana arahan BN sekiranya arahan tersebut akan mencerobohi atau mengkhiati hak rakyat.
Hakikat bahawa BN bukan kerajaan dan kerajaan bukan BN itu, wajib difahami sebaik-baiknya oleh setiap rakyat terutama penjawat awam. Pemimpin-pemimpin penjawat awam tidak wajar menghalang mana-mana anak buahnya dari menyokong mana-mana parti politik yang sah di sisi undang-undang. Cuma keterlibatan mereka (anak-anak buah) saja yang wajar dipantau agar mengikuti garis panduan tertentu yang digunapakai supaya tidak sampai taksub kepada parti yang didokonginya.
Ketaksuban akan menyebabkan seseorang penjawat awam akan bias kepada partinya hingga timbul diskriminasi terhadap pelanggan-pelangannya yang berlainan parti. Misalnya seorang guru penyokong kuat BN tidak mahu mengajar muridnya kerana ia anak kepada penyokong tegar PR, ataupun sebaliknya. Sepatutnya setiap penjawat awam hendalah mengamalkan sifat berkecuali dari politik kepartian ketika memberi khidmat kepada rakyat umum. Dengan istilah lain, sentiasa mempraktikkan prinsip profesionalisma dalam perkhidmatan.
Amat malanglah seseorang penjawat awam jika bosnya merupakan individu yang buta politik demokrasi. Lebih-lebih lagi yang fanatik dalam politik hingga menganggap BN adalah sinonim bagi kerajaan. Bagi bos ini, tidak mengundi BN ditafsirkan sebagai tidak menyokong kerajaan.
Oleh sebab BN dianggapnya sebagai majikannya, maka beliau mungkin mengumpamakan penjawat awam yang tidak mengundi BN sebagai anjing yang menggigit tangan tuan yang memberi makan kepadanya. Acik tidak hairan dengan sikap bos-bos demikian. Jika dikaji latar belakkang mereka. nescaya kita akan dapati bahawa kebanyakannya adalah penjawat awam yang tidak berkalibar.
Jawatan yang disandang oleh bos seperti ini sebenarnya diperolehinya bukan berdasarkan merit (kecemerlangan) tetapi berdasarkan pengaruh politik BN. Sebagai seorang bekas penjawat awam selama 25 tahun, senario ini sangat jelas bagi Acik. Bos tak pandai buat kerja adalah perkara lumrah dalam sektor awam. Namun mereka ini sangat rapat dengan ahli-ahli politik penting BN.
Walaubagaimanapun, Acik tak nafi bahawa tak semua penjawat awam begitu. Penjawat awam yang berjaya memanjat tangga kerjaya hingga ke puncaknya berdasarkan merit, lebih berani mengatakan, “a spade is a spade”. Jika tidak berani berbuat demikian ketika masih berkhidmat pun, sekurang-kurangnya mereka telah menzahirkan keberaniannya setelah bersara.
Contohnya ialah Jeneral (B) Tan Sri Sani dan arwah Jeneral (B) Datuk Jaafar Onn, Kedua-dua mereka merupakan penyokong kuat parti pembangkang setelah bersara. Malah Jeneral (B) Datuk Jaafar On pernah bertanding dalam pilihanraya menentang calon BN. Sedangkan beliau adalah adik kepada Tun Hussein On, mantan PM. Tun Hussein itu pula ialah ayahanda kepada Datuk Hishamuddin, Menteri Pertahanan sekarang. Wajarkah mereka ini dilabel sebagai “penderhaka” atau “kacang lupa kulit” atas sebab tidak menyokong BN ? (PenCERAHan : https://4uni2c.com/2012/10/21/kisah-pemandu-yang-bangang-the-confused-driver/ )
Di sini inginlah Acik menyeru kepada mereka yang berkenaan agar mengadili Mejar (P) Zaidi dengan fikiran yang waras lagi terbuka. Maksud Acik, tanpa terkongkong dengan pengaruh politik BN semata-mata. Sebagaimana yang Acik jelaskan di atas, BN itu bukanlah kerajaan. Oleh itu yang menjadi majikan kepada Mejar (P) Zaidi bukanlah BN tetapi kerajaan.
Mereka yang mengadili kes Mejar (P) Zaidi wajar mengambil kira implikasi kepada sesuatu hukuman yang akan dikenakan ke atas beliau. Pertama, dari segi punca sebenar yang mendorong tindakan Mejar (P) Zaidi bertindak demikian. Andaikata dakwat yang didakwa oleh SPR itu benar-benar “dakwat kekal”, tak mustahilkah tidak timbul laporan tersebut dari Mejar (P) Zaidi ?
Kedua, selain dari memiliki topi (hat) penjawat awam, Mejar (P) juga memiliki topi rakyat biasa yang berhak mengundi. Semasa membuang undi sudah tentu beliau wajar memakai topi seorang rakyat Malaysia, bukan topi penjawat awam. Oleh itu jika beliau tidak berpuashati dengan SPR atau kerajaan, bantahan beliau tidak patut dianggap sebagai mewakili jabatannya atau majikannya.
Sebaliknya beliau adalah mewakili dirinya sendiri dan seluruh rakyat Malaysia yang memakai topi yang serupa dengan yang dipakainya ketika bantahan berkenaan dibuatnya di Balai Polis berkenaan. Acik sendiri mengiktiraf beliau 100% sebagai wakil Acik bagi membuat bantahan dalam bentuk sebuah Laporan Polis itu. Malah Acik penuh yakin bahawa, selain Acik seorang, lebih 50 peratus dari keseluruhan pengundi yang tidak mengundi BN dalam PRU13 itu, mengiktiraf Mejar (P) Zaidi sebagai wakil mereka bagi mengemukakan bantahan di Balai Polis berkenaan.
Ketiga, tindakan yang diambil terhadap Mejar (P) itu agak jelas bermotifkan politik bukan berdasarkan masalah disiplin beliau sebagai seorang penjawat awam. Tindakan beliau itu malah mendapat pujian dari seorang Jeneral (B) yang baru bersara. Kata beliau, Mejar (P) Zaidi adalah seorang pegawai yang berani menyatakan kebenaran. Kebetulan, beliau sendiri pernah menjadi bos kepada Mejar (P) Zaidi.
Jeneral (B) tersebut adalah rakan sekelas Acik masa di tingkatan empat dan lima dahulu. Mengikut pandangan peribadi beliau, adalah satu kerugian yang besar bagi TUDM sekiranya Mejar (P) Zaidi dipecat. Sebagai seorang bekas juruterbang jet pejuang yang memakai pangkat 3 bintang di bahu menjelang persaraannya, Acik kira beliau amat layak membuat penilaian tersebut. Menghasilkan seorang juruterbang jet pejuang bukanlah semudah menghasilkan pilot MAS atau AirAsia.
Implikasi lain yang juga perlu diambilkira sebelum menjatuhkan apa-apa hukuman ke atas Mejar (P) Zaidi ialah persepsi rakyat terhadap kerajaan Malaysia amnya dan terhadap TUDM khususnya. Rakyat rata-rata melihat tindakan yang dikenakan ke atas Mejar (P) itu sebagai tindakan politik semata-mata. Ia lebih memenuhi cita rasa dan selera BN, bukan demi keadilan untuk rakyat seluruh Malaysia amnya dan terhadap Mejar (P) Zaidi khususnya.
Itu persepsi seluruh rakyat jelata. Bagaimana pula dengan persepsi seluruh anggota tentera amnya dan anggota TUDM khususnya. Jika Mejar (P) Zaidi hanyalah seorang anggota biasa saja dalam TUDM mungkin pengaruhnya boleh diabaikan. Tetapi Mejar (P) Zaidi adalah seorang yang agak tinggi pangkatnya. Sudah tentulah ratusan malah mungkin ribuan anggota lain yang kenal dengan beliau.
Tidak kiralah samada mereka yang kenal dengan Mejar (P) Zaidi itu semasa sama-sama memakai topi penjawat awam (TUDM) ataupun ketika salah seorangnya tidak lagi memakai topi penjawat awam, ataupun ketika sama-sama memakaikan topi rakyat biasa. Asalkan mereka kenal dengan Mejar (P) Zaidi sebagai seorang individu baik yang bakal teraniaya, mereka akan mencurahkan rasa simpati masing-masing dengan cara tersendiri.
Persepsi massa terhadap isu ini tidak wajar dipandang remeh oleh mereka yang mengendalikan perbicaraan ke atas Mejar (P) Zaidi. Persepsi negatif akibat hukuman yang dilihat sebagai tidak adil terhadap Mejar (P) Zaidi nanti, mampu menjejaskan imej negara dan TUDM amnya dan sistem penghakiman negara khususnya. Seterusnya ia pasti menjejaskan usaha Malaysia ke arah mencapai wawasan 2020 sebagaimana yang diwar-warkan.
Wallahualam.
d a u l a t r a k y a t !
Lain-lain PenCERAHan yang relevan :
Major Zaidi # 03 : Membiakkan Kura-Kura Dalam Semak https://4uni2c.com/2015/01/15/major-zaidi-03-membiakkan-kura-kura-dalam-semak/
Mejar (P) Zaidi # 01 Icon PRU 13 https://4uni2c.com/2014/10/18/major-p-zaidi-01-icon-pru-13/
SPR : Penipu atau Tertipu ? https://4uni2c.com/2013/05/05/4uni2c-13505-spr-penipu-atau-tertipu
SPR : Do Not Blame The Mirror For Your Bad Image : https://4uni2c.com/2013/06/03/4uni2c-13602-spr-do-not-blame-the-mirror-for-your-bad-image/
*** Untuk ke menu UTAMA sila KLIK: http://www.4uni2c.com
@ OPajar (# 14Y04)