Selamat tinggal FB !
Bila terlintas di hati kecil Acik nak berhenti bermain Facebook (FB), maka Acik pun pilih 17.11.17 sebagai tarikh akhir Acik bermain dengannya. Bila Acik lahirkan hasrat ini dalam wall Acik, maka tercetuslah pertanyaan dari kalangan rakan FB Acik.
Soalan pertama ialah, apa sebabnya Acik nak berhenti bermain FB. Walaupun Acik dah kata bahawa Acik rasa mudharat FB adalah lebih besar dari munafaatnya, tapi nampaknya masih ada yang belum puas dengan alasan tersebut.
Soalan kedua yang ditanya kepada Acik ialah kenapa 17.11.17 menjadi tarikh pilihan Acik. Bagi soalan ini, mudah sahaja jawapannya. Iaitu sebab tarikh itu agak cantik. Mudah-mudahan dengan itu, ianya lebih senang diingati.
Sebenarnya Allah sahaja yang tahu betapa seriknya Acik terhadap FB. Kerana angkara FB lah maka bermacam-macam kesusahan yang Acik sekeluarga terpaksa hadapi.
Mula-mula salah seorang dari anak-anak Acik didakwa mengutuk Sultan di dalam wall FB yang disyaki akaunnya. Akibatnya, beliau terpaksa melalui proses perbicaraan di mahkamah Johor Bahru. Entah berapa RM ribu keluarga Acik terpaksa belanja bagi menghadiri sessi perbicaraan di JB. Akhirnya anak Acik itu dihukum denda RM20 ribu.
https://4uni2c.wordpress.com/2014/12/11/ahmads-saga-index-b/
.
Tak berapa lama selepas anak Acik itu membayar denda RM20 ribu, tiba-tiba adiknya pula didakwa angkara FB. Beliau didakwa serupa macam abangnya, iaitu dituduh menggunakan kata-kata negatif terhadap Sultan dalam wall FBnya. Akibat tak sanggup menghadapi prosidur mahkamah maka anak Acik ini telah lari membawa diri ke Sweden.
https://4uni2c.wordpress.com/2014/12/04/alis-saga-index/
Namun kedua-dua kes di atas tidaklah menikam kalbu Acik seteruk apa yang masih berlaku ketika PenCERAHan ini Acik tulis. Kes yang Acik maksudkan ini ialah tentang apa yang didedahkan oleh seorang anak perempuan Acik mengenai suaminya kepada umum.
Tindakan tidak beratika anak Acik itu sangatlah memalukan Acik sekeluarga. Tak dapatlah nak dibayangkan betapa pula perasaan menantu lelaki Acik akibat pendedahan isterinya itu.
Yang lebih menambah burukkan lagi keadaan ialah apabila gosip anak Acik itu diberi sambutan luarbiasa oleh ramai rakan FBnya. Apa lagi, semakin ghairahlah beliau membuka aib suaminya itu.
Sedangkan Islam mengibaratkan si isteri sebagai pakaian suami, dan begitulah sebaliknya. Maksud pakaian ialah menutup aurat (keaiban). Si isteri sepatutnya berusaha menutup segala keaiban suami dan begitulah juga si suami terhadap keaiban isteri.
Selaku ayah kepada generasi FB dan WA (whatsapp) ini, apa sangatlah yang Acik mampu buat bagi menamatkan amalan buruk beliau sekarang. Kalau si anak masih kecil dan masih dalam tanggungan ayah, taklah susah sangat untuk dibaiki. Seperti kata peribahasa, “melentur buluh biarlah ketika masih rebung”. Bila dah jadi buluh ianya dah terlambat.
Seorang ayah, tentulah tidak wajar mendedahkan kelemahan atau keburukan anak kandung sendiri. Berbuat demikian adalah umpama meludah ke langit, menimpa batang hidung sendiri. Keburukan akibat pendedahan itu kelak akan menimpa si ayah sendiri.
Cuma apa yang Acik masih boleh buat ialah berdoa dan terus berdoa tanpa putus asa, agar Dia yang menguasai hati hamba-hambaNya itu memberi keinsafan kepada anak Acik itu. Dengan keinsafan tersebut, mudah-mudahan beliau kembali menjadi insan yang bersyukur. Insan yang sedar siapa dirinya di sisi Ilahi, di sisi ibubapa dan di sisi seorang suami. Juga siapa dirinya di kalangan anak-anak sendiri, di kalangan siblings dan masyarat yang seagama dan sebudaya dengannya.
Kepada semua rakan FB anak Acik itu pula sukalah Acik dengan rasa rendah diri memohon dan merayu agar berhenti dari mencurah minyak ke api. Sebaliknya gunalah pengaruh dan kebijaksanaan anda bagi mengatasi kemelut yang sedang melanda Acik sekeluarga.
Apa ruginya melihat anak Acik itu hidup bahagia bersama keluarganya. Bahagia bersama suami yang masih mencintainya. Bahagia bersama anak-anak yang masih managih kasih sayang ibu kandung mereka.
Apa untungnya melihat keluarga anak Acik itu porak peranda. Apa untung kepada negara jika masjid yang telah dibina sejak sekian lama itu runtuh angkara hasutan anda.
Dengan mengikuti FB anak Acik itu sejak awal, Acik boleh teka siapa dikalangan rakan FB beliau itu yang pembantu dan siapa pula yang hantu. Namun tak elok lah jika Acik sebut nama mereka di sini satu pesatu. Siapa yang makan cili biarlah dia sendiri yang menikmati kepedasannya.
Kepada rakan FB anak perempuan Acik yang simpati dengan Acik sekeluarga pula Acik dengan penuh harapan memohon sedikit kerjasama anda. Tolong jangan “like” atau komen +ve atau “share” status beliau itu. Mudah-mudahan bila status beliau semakin kurang popular, anak Acik itu akan mulai insaf akan keceluparan penanya.
Ambillah iktibar dari sebuah hadith yang melarang jemaah solat Jumaat dari berkata-kata ketika khatib sedang menyampaikan kutbah. Hatta berkata “diam !” kepada orang sebelah kita yang sedang berbual pun dilarang. Ini adalah demi mengelakkan tercetusnya reaksi negatif oleh pihak yang diteguri, yangmana akan menambah cemarkan lagi suasana majlis.
Segala kerjasama anda dalam bentuk apa sekalipun, sangatlah Acik hargai, Acik mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada anda semua. Semoga Allah jua yang akan membalasnya.
Apa pun, Acik percaya bahawa khususnya buat keluarga Acik, segala kesusahan yang keluarga Acik tempuhi adalah angkara FB. Namun Acik taklah menuduh FB 100 peratus sebagai punca segala masalah yang Acik sekeluarga hadapi. Acik setuju jika FB dianalogikan sebilah pisau. Jika pisau disalahgunakan maka yang jahat bukan pisau tetapi pengguna berkenaan.
Walaubagaimana pun, khususnya buat keluarga Acik analogi yang lebih sesuai bagi FB ialah sebatang pohon kelapa mati yang licin berlumut. Batang kelapa tersebut merentangi sebuah parit dalam. Hanya orang-orang tertentu saja yang mampu meniti di atas batang kelapa tersebut tanpa tergelincir jatuh ke dalam parit. Sedangkan ahli-ahli keluarga Acik bukanlah termasuk golongan orang tertentu tersebut.
Kerana meniti di atas batang kelapa yang licin berlumut itulah maka anak-anak Acik yang berkenaan itu telah menerima akibatnya. Supaya pasti selamat, lebih baiklah anak-anak Acik itu berhenti saja bermain FB. Untuk menjadi contoh maka amat wajarlah Acik sendiri yang memulakan dahulu sesuai dengan slogan popular, “contoh melalui tauladan”
Mengikut pemerhatian Acik, ada beberapa orang rakan FB Acik yang sangat responsive. Sebaik saja Acik pos sesuatu pada wall Acik, mereka akan respon. Kadang-kadang tertanya juga di hati Acik soalan, “mereka ni tak ada kerja lainkah selain dari dok mengadap FB ? “
Entah berapa jamkah sehari dari umur mereka yang dibajetkan utk FB. Entahlah kalau mereka memang dah kaya raya hingga tak perlu lagi bekerja cari makan. Acik tak perlu kerja bukan sebab dah kaya raya tapi sebab ada pencen bulanan. Sekurang-kurangnya cukuplah untuk membeli beras dan garam.
.
.
Apakah berdosa main FB ?
Bagi Acik, ia bergantung kepada pemain masing-masing. Jika cara dan niatnya betul, maka hukumnya harus, malah boleh jadi dapat pahala.
Sebaliknya jika cara dan niatnya tak betul, maka ia menjadi berdosa. Contoh yang berdosa ialah yang berniat menagih puji-pujian, riak, mencari publisiti dan mengejar populariti.
Pemain jenis ini akan excited bila setiap posting di wallnya mendapat “like” dan komen +ve paling ramai. Lebih-lebih lagi jika ramai yang “share”.
Individu yang ketagihan elemen-elemen tersebut, sanggup membuang masanya berjam-jam bersama FB setiap hari. Dia sanggup ketepikan pasangan (suami/isteri), anak-anak, hatta tugas dan ditanggungjawab rasminya, demi memancing “like”, komen +ve dan “share”. Jika komen yg -ve yang diterimanya dari mana-mana rakan FB, nescaya rakan FB tersebut pun dipecat atau di“unfriend”nya.
.
Ketika di Universsiti dahulu Acik pernah membaca kitab Imam Al Ghazali tentang ilmu tasauf. Ketika itu Acik susah nak bayangkan betapa seriousnya keburukan akibat dari sikap mazmumah yang Acik sebut di atas. Tapi bila dah ada FB maka amat jelas kepada Acik tentang keburukan sifat-sifat tersebut.
Maksud Acik, akibat sifat mazmumah yang dizahirkan di dalam wall FB masing-masing macam-macam angkara boleh dan telah berlaku. Ia telah menyusahkan pelbagai pihak.
Acik tak perlu cari kes-kes lain untuk “verify” akan kebenaran dakwaan Acik ini, kerana akibatnya telah pernah dialami oleh keluarga Acik sendiri.
Dua anak lelaki Acik telah pernah kena dakwaan. Kini anak perempuan Acik pun diambang penceraian. Bagi Acik semua ini adalah angkara FB. Dengan kata lain, semua pengalaman buruk itu berkemungkinan besar tidak berlaku sekira tidak ada FB atau mereka bukan pemain FB. Oleh itu tidak ada jalan lain lagi untuk selamat diri dari segala angkara FB kecuali dengan berhijrah meninggalkan FB.
Sebelum menyuruh anak-anak Acik meninggalkan FB, adalah wajar Acik dulu yang meninggalkannya. Ini barulah dikatakan “contoh melalui tauladan”
Wallahua’lam 🌹
.
.
PenCERAHan yg relevan ⬇️
.
Love you endlessly https://4uni2c.com/2017/11/11/love-you-endlessly/
A lesson to be learnt : https://4uni2c.com/2017/11/10/a-lesson-to-be-learnt/
Si buta kenali gajah https://4uni2c.com/2020/09/21/analogi-si-buta-kenali-gajah/
.
PenCERAHan popular ⬇️
.
Ali’s SAGA: Berhijrah ke Sweden https://4uni2c.com/2014/10/25/alis-saga-05-berhijrah-ke-sweden/
Agama: Otak ibarat kalkulator https://4uni2c.com/2020/02/13/agama-otak-ibarat-kalkulator/
.
PenCERAHan terbaru ⬇️ http://www.4uni2c.com
PN.